a. Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya
berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat
membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan
tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting
untuk menghindar beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa
seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan
kandungan gula rendah dalam darah. Ia juga penting untuk membolehkan seseorang
itu berpuasa dengan selesa dan mendapat fadhilat yang sewajarnya di bulan
puasa. Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan
yang seimbang untuk kekal sihat di bulan puasa.
b. Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas
makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan
seimbang. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan
Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat
membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan kita
mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut: Nasi, roti, bijirin dan
hasil bijirin.
Buah-buahan dan
sayur-sayuran
Ikan, ayam, daging
dan kekacang
Susu dan produk
tenusu
Sedikit minyak,
lemak, gula dan garam
c. Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini
kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun
pada tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa,
aktiviti gastrik akan meningkat. Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang
banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang
terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh
menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu
berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia
juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah
puasa dengan sempurna.
d. Mengikut Sunnah, adalah digalakkan mengambil 3 biji buah
kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa. Kurma bukan sahaja kaya
dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian
diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1
mangkuk kecil sup sayur berserta dengan 1 atau 2 keping roti. Pengambilan
makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang
rendah dalam darah kepada paras normal. Walau bagaimanapun, hadkan pengambilan
makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti
yang berlebihan sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang tinggi
kandungan gula secara berlebihan, boleh mengakibatkan peningkatan berat badan
walaupun di bulan puasa.
e. Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik
sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan
ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika
boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta
lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika
perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas
seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas
susu . Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mi
atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.
f. Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin
boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air,
kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses.
Sekiranya anda mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan
serta sayur-sayuran. Pastikan anda mengambil 6-8 gelas air, 3 hidangan
sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan
air juga boleh di ambil dalam bentuk jus buah-buahan ataupun sup sayur-sayuran.
Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang
mengandungi kafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan
mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam. Selain daripada
itu, lakukan juga senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah
penting untuk kelancaran sistem penghadaman.
No comments:
Post a Comment