Monday, 13 August 2012

ELAKKAN PEMAKANAN YANG KURANG BERKHASIAT DI BULAN RAMADHAN

Seperti yang kita ketahui, Di bulan Ramadhan pelbagai jenis juadah disediakan. Apatah lagi kalau kita berkesempatan untuk membeli juadah di Bazar Ramadhan. Memang sesuatu yang menarik dan tertarik. Sehingga sanggup beratur panjang demi untuk membeli atau mencuba sesuatu makanan.

Begitu juga kalau kita sempat untuk meluangkan masa Berbuka di Hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadhan dengan kambing bakar, ayam bakar, arnab bakar ada juga yang bernasib baik dapat merasa rusa bakar. wah !! teruja melihat pelbagai juadah disediakan. tetapi setakat mana perut kita mampu menampung makanan yang kita idamkan?

Walaupun nafsu ingin merasa semua juadah yang disediakan, jangan pula kita lupa untuk menjaga kesihatan yang dipinjamkan Allah kepada kita untuk semenara waktu ini. Sekiranya kita mampu menjaga kesihatan tubuh badan itu bermakna kita orang yang mensyukuri nikmat Allah, tapi seandainya kita biarkan diri kita dengan terus mengikut tuntutan nafsu makan, alamatnya kita sudah menzalimi diri sendiri.

Oleh itu, penjagaan kesihatan di bulan puasa adalah amat penting agar kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Berikut adalah beberapa tabiat makan yang perlu dielak di bulan puasa.
  • Jangan makan berlebihan terutama sewaktu berbuka puasa. Ini untuk mengelak kejadian kembung perut atau ketidakhadaman makanan.
  • Kurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan berlemak.
  • Kurangkan makanan tinggi gula.
  • Kurangkan minum minuman berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat. Minuman ini boleh menghalang penyerapan vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh badan. Ia juga boleh menyebabkan kita kerap membuang air kecil.
  • Elakkan makanan yang diproses terutamanya yang mengandungi perisa dan pewarna tiruan serta pengawet. Biasanya makanan terproses adalah tinggi garam walaupun tidak terasa masin.
  • Kurangkan makanan yang terlalu berempah dan pedas.

CARA MENJAGA KECERGASAN BADAN DI BULAN RAMADHAN

Kita sedia maklum, ramai di antara kita kebiasaan nya mengatakan bulan ramadhan mereka keletihan, ngantuk, lemah dan ada pula pula yang kurang produktif. Berbeza dengan Rasulullah dan sahabat mereka berjuan dalam peperangan Badar  pada bulan Ramadhan. Kehebatan mereka yang hanya 313 orang mampu menewaskan tentera musuh lebih kurang 1,000 orang. Jadi benarkah puasa itu menyebabkan kita lemah atau memang diri kita yang lemah bila dengar Ramadhan tiba?

Berikut adalah beberapa panduan untuk perkongsian agar sentiasa kekal cergas di bulan puasa.
  • Ambil makanan yang berkhasiat iaitu mengandungi karbohidrat, protein, vitamin, mineral serta sedikit lemak.
  • Lakukan aktiviti fizikal untuk meningkatkan metabolisme. Waktu yang sesuai untuk anda melakukan aktiviti fizikal ialah ½ jam sebelum berbuka ataupun selepas makanan yang dimakan hadam.
  • Minum banyak air terutama air kosong. Ini untuk mengelakkan dehidrasi kerana badan kita memerlukan air yang banyak.
  • Elakkan mengambil minuman yang berkafein kerana ia boleh menghalang penyerapan zat-zat makanan oleh badan

CARA MENGURANGKAN BERAT BADAN DI BULAN RAMADHAN

Ramadhan merupakan satu peluang untuk mengurangkan berat badan bagi mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Amalan pemakanan sihat yang disarankan bagi mengurangkan berat badan ialah:
  • Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, minyak serta lemak. Makanan ini mengandungi tinggi kalori. Jika anda tidak dapat menahan diri daripada mengambil makanan ini, ambillah dalam kuantiti yang sedikit.
  • Hadkan pengambilan air manis seperti air sirap atau kordial. Utamakan pengambilan air kosong dan jus buah-buahan yang tidak ditambah gula. Susu rendah lemak juga merupakan pilihan minuman yang baik.
  • Beri perhatian pada saiz hidangan anda. Kebiasaannya, kita akan makan dengan banyak apabila terlalu lapar. Oleh itu sentiasa ingat untuk mengekalkan saiz hidangan yang kecil, walaupun mengambil makanan yang rendah lemak.
  • Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan ini bukan sahaja mengenyangkan, malah boleh meningkatkan pengambilan serat harian anda.
  • Jangan lupa untuk melakukan senaman ringkas. Berpuasa bukan alasan untuk anda tidak melakukan senaman.

INFO SIHAT UNTUK BUKA PUASA


a. Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa. Makan secara sihat di bulan puasa adalah penting untuk menghindar beberapa masalah kesihatan yang biasa berlaku di bulan puasa seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah. Ia juga penting untuk membolehkan seseorang itu berpuasa dengan selesa dan mendapat fadhilat yang sewajarnya di bulan puasa. Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat di bulan puasa.

b. Walaupun berpuasa, kita tetap perlu mengamalkan asas makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita. Makanan kita mestilah mengandungi kumpulan-kumpulan makanan berikut: Nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin.

 Buah-buahan dan sayur-sayuran

 Ikan, ayam, daging dan kekacang

 Susu dan produk tenusu

 Sedikit minyak, lemak, gula dan garam



c. Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum. Apabila kita mengambil makanan semasa berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat. Kebiasaannya kita akan mengambil makanan yang banyak sewaktu berbuka puasa. Ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan yang ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

d. Mengikut Sunnah, adalah digalakkan mengambil 3 biji buah kurma sebagai makanan pertama sewaktu berbuka puasa. Kurma bukan sahaja kaya dengan tenaga, tetapi juga mengandungi serat, vitamin dan mineral. Kemudian diikuti dengan ½ cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil 1 mangkuk kecil sup sayur berserta dengan 1 atau 2 keping roti. Pengambilan makanan ini dalam kuantiti yang betul boleh mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal. Walau bagaimanapun, hadkan pengambilan makanan yang manis seperti kuih-muih manis, kek dan air manis dalam kuantiti yang berlebihan sewaktu berbuka puasa. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula secara berlebihan, boleh mengakibatkan peningkatan berat badan walaupun di bulan puasa.

e. Makan malam yang lebih berat adalah digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong. Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, 1 atau 2 ketul kuih dan 1 gelas susu . Lebihkan mengambil air kosong. Pengambilan makanan yang berat seperti mi atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.

f. Sembelit di bulan puasa merupakan masalah yang mungkin boleh berlaku di bulan puasa. Ia berlaku disebabkan kita kurang minum air, kurang mengambil makanan yang berserat serta makan banyak makanan terproses. Sekiranya anda mengalami masalah ini, tingkatkan pengambilan air, buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan anda mengambil 6-8 gelas air, 3 hidangan sayur-sayuran dan ½ cawan sayur-sayuran serta 2 biji buah sehari. Pengambilan air juga boleh di ambil dalam bentuk jus buah-buahan ataupun sup sayur-sayuran. Untuk mengelakkan kehilangan air dari badan, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat. Kurangkan kekerapan mengambil makanan segera yang tinggi kandungan lemak dan garam. Selain daripada itu, lakukan juga senaman ringan seperti regangan dan berjalan. Ini adalah penting untuk kelancaran sistem penghadaman.

Sunday, 12 August 2012

INDEKS JISIM TUBUH (BMI)

 
Apa itu BMI?

Indeks Jisim Tubuh atau lebih mudah dikenali BMI adalah ukuran untuk menilai berat badan anda berbanding dengan ketinggian. Bagaimana seseorang dapat  mengira BMI?
BMI =
Berat badan (kg)
Tinggi (m) x Tinggi (m)
Apakah klasifikasi BMI?

Jika BMI anda (kg/m²) adalah
Anda adalah

< 18.5
Kurang berat badan
18.5 - 24.9
Mempunyai berat badan unggul
25 - 30
Berlenihan berat badan
30 atau lebih
Obes



Tahukah anda bahawa berlebihan atau kekurangan berat badan boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan?
  • Kajian menunjukkan bahawa berat badan yang berlebihan adalah masalah kesihatan yang serius bagi kebanyakan orang. Ia meningkatkan risiko kepada beberapa penyakit yang serius seperti penyakit jantung, angin ahmar, diabetes, kanser dan darah tinggi.
  • Namun begitu, mencapai dan mengekalkan berat badan unggul melalui pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang tetap boleh membantu mencegah penyakit-penyakit ini.

Bilakah anda dianggap sebagai kurang berat badan?

Jika BMI anda kurang daripada 18.5kg/m², anda adalah kurang berat badan.
Apa yang berlaku sekiranya seseorang itu kurang berat badan?
  • Kurang berat badan meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat masalah kesihatan.
  • Kurang berat badan dikaitkan dengan masalah jantung, penurunan daya tahan tubuh terhadap jangkitan, keletihan yang kronik, anemia, kemurungan dan penyakit-penyakit yang lain.
Bagaimanakah seseorang boleh menambah berat badan dengan cara yang sihat?
  • Buat sasaran untuk penambahan berat badan dengan perlahan, iaitu di antara 1 hingga 2 kilogram sebulan. Anda harus mencapai sasaran untuk BMI di antara 18.5 dan 24.9 kg/m2.
  • Kawal berat badan anda secara sihat:
    • Amal makan secara sihat, dengan memilih dan memakan pelbagai jenis makanan setiap hari berpandukan Piramid Makanan Malaysia.
    • Pastikan anda makan mengikut waktu makan yang tetap.
    • Rancang lebih awal untuk hidangan yang lebih. Untuk menambah berat badan, anda mungkin perlu makan makanan yang berkhasiat lebih dari biasa
    • Ambil snek dengan bijak dengan memilih snek yang padat dengan nutrien bagi menambah kalori, vitamin dan mineral.
    • Tentukan keperluan tenaga anda. Anda perlu pastikan tahap aktiviti fizikal anda untuk memastikan keperluan tenaga.

Apakah berat badan unggul?
  • Anda mempunyai berat badan unggul sekiranya BMI anda adalah di antara 18.5 hingga 24.9/km².
  • Kajian menunjukkan bahawa jangka hayat seseorang yang mempunyai BMI unggul adalah lebih tinggi daripada seseorang yang mempunyai BMI yang lebih rendah atau tinggi.


    Bagaimanakah saya mengekalkan berat badan yang unggul?
  • Imbangkan pengambilan makanan anda dengan aktiviti fizikal.
  • Tentukan keperluan tenaga anda.
  • Lakukan lebih banyak aktiviti fizikal. Jika anda sememangnya seorang yang sangat aktif, cuba teruskan kadar aktiviti yang sama, bersesuaian dengan umur anda.
Bilakah seseorang itu dianggap sebagai mempunyai berlebihan berat badan?
Anda adalah berlebihan berat badan jika BMI anda adalah 25 hingga kurang dari 30 kg/m². Jika BMI anda adalah 30 atau lebih, anda adalah obes.


Bagaimana seseorang itu boleh menurunkan berat badan mereka?
  • Tetapkan sasaran yang realistik untuk menurunkan setengah kilogram berat badan dalam seminggu.
  • Pastikan keperluan tenaga anda.
  • Timbang berat badan anda sekali seminggu, sebaik- baiknya sebelum makan.
  • Makan makanan yang sihat secara sederhana berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
  • Jangan sekali-kali menyekat diri untuk tidak makan atau mengehadkan kalori jika anda sangat lapar. Jika anda berbuat demikian, anda selalunya akan makan mengikut nafsu selepas itu.

  • Buat beberapa modifikasi dalam diet anda.
  • Kurangkan atau elakkan makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak seperti mentega,krim, daging yang berlemak, sos salad, kek dan pastri.
  • Elakkan makan atau minum semasa menonton televisyen atau membaca. Lakukan senaman sederhana seperti berjalan laju, berbasikal dan berenang sekurang-kurangnya 30 minit, lima hingga enam hari seminggu.
  • Jumpa doktor untuk mengenal pasti dan membetulkan masalah perubatan, biologikal atau fisiologikal yang berkaitan yang boleh menyumbang kepada berat badan yang berlebihan.
  • Jumpa pakar pemakanan untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan berat badan anda.
  • Dapatkan sistem sokongan. Rakan-rakan adalah kumpulan sokongan yang bagus.

Tuesday, 7 August 2012

ISTERI RAMPING RAHSIA RUMAH TANGGA BAHAGIA


 
Kajian dapati lelaki puas hati jika pasangan jaga badan

TENNESSEE: Kajian selama empat tahun terhadap 169 pasangan yang baru berkahwin mendapati golongan suami berpuas hati pada awalnya, manakala golongan isteri akan lebih puas dari masa ke semasa apabila mereka mempunyai indeks jisim badan lebih rendah, merujuk kepada lemak badan.
Hasil kajian terbabit disiarkan dalam jurnal Social Psychological and Personality Science bagi bulan ini.

“Wanita dalam masyarakat sekarang menghadapi banyak tekanan untuk memiliki badan kecil, sesuatu yang jarang dimiliki,” kata Andrea Meltzer, seorang calon profesor di Universiti Tennessee yang juga ketua penyelidikan itu.

“Mesej utama kajian kami adalah wanita sebarang saiz gembira dengan hubungan mereka dengan pasangan yang secocok. Ia berat relatif bukannya mutlak. Ini bukan bermakna mereka perlu menjadi lebih kecil.”

Bagaimana berat relatif memberi kesan kepada perkahwinan tidak jelas, tetapi Meltzer mempunyai teori.

“Satu pandangan ialah daya tarikan dan berat adalah lebih penting bagi lelaki. Ia mungkin sebab mengapa kita lihat ia wujud pada awal perkahwinan kepada si suami, dan suasana bahagia bagi isteri terjejas apabila suami mereka mula merasa tidak puas hati dalam hal itu selepas beberapa lama.”
Hasil kajian itu masih boleh dipegang walaupun apabila ada unsur tekanan lain terhadap perkahwinan seperti kemurungan dan tahap pendapatan, diketepikan. Pada masa sama, berat relatif bukan satu-satunya faktor yang menjejaskan kepuasan dalam perkahwinan, kata Meltzer.

“Jelas sekali banyak perkara bermain dalam kepuasan hubungan dan ini satu daripadanya. Ia bukan satu jaminan untuk menjadi gembira dalam sesebuah hubungan,” tegasnya.

“Lelaki dan wanita cenderung untuk gembira dalam sesuatu hubungan apabila lelaki terbabit lebih berkuasa dalam cara yang lebih lembut,” kata Susan Heitler, pakar terapi pasangan di Denver dan penulis PowerOfTwoMarriage.com.

“Berita baiknya ada pelbagai dimensi yang melambangkan kuasa lelaki,” katanya sambil merujuk kepada aspek ketinggian, berat badan, pendapatan, kecerdikan, tahap pendidikan, personaliti, malah senyuman lebar, kesemuanya memainkan peranan,” katanya.

Kesan perkahwinan terhadap berat badan dan begitu juga sebaliknya, adalah rumit untuk diperjelaskan.

Bagi wanita, rasa tidak puas hati selalunya boleh menyebabkan pertambahan berat badan – satu keadaan bahawa kedua-dua pasangan berasa tidak selesa bercakap mengenai. – Agensi Agensi

70 % AIR DIPERLUKAN OLEH BADAN MANUSIA

Alhamdulillah baru-baru ini kami bertemu kawan lama yang ingin mengurangkan berat badan dari 122 kg pada umur 33 tahun. Seperti kebiasaan kami akan melakukan evaluation test untuk mengetahui berat badan sebenar, kandungan air dalam badan, umur dalaman dan lain-lain lagi.


Walaubagaimanapun amat memeranjatkan sekali kandungan air dalam badan beliau adalah lebih kurang 24% sahaja air. Oleh itu kami pun mula menerangkan kepada beliau tentang kepentingan air dalam badan manusia.

Untuk makluman sahabat-sahabat pembaca, air merupakan sumber terpenting untuk diberikan kepada tubuh badan kerana dapat memberikan tenaga kepada kita dalam melakukan tugas-tugas setiap hari. Pakar kesihatan juga menyarankan agar kita mengambil minimum lapan gelas air masak setiap hari kerana dapat membantu dalam mengekalkan tahap kesihatan tubuh badan kita. Walaubagaimanapun sekiranya kita mengambil lebih dari itu ianya adalah lebih baik sekali. Kerana kita sentiasa terdedah kepada cuaca yang panas menyebabkan badan kita memerlukan lebih dari 8 gelas air sehari. Air meliputi hampir 70% daripada komposisi dalaman kita. Air juga banyak membantu dalam proses penghadaman di mana membantu sebagai pengalir setiap nutrisi dan oksigen ke sel-sel badan.

Bukan itu sahaja, keperluan air juga penting untuk kelembapan kulit dalam melindungi sendi-sendi tulang serta organ dalaman. Malah, Japanese Medical Society juga sudah melakukan kajian membuktikan dalam kes-kes tertentu, amalan gemar meminum air masak mampu memulihkan penyakit-penyakit serius seperti sakit kepala, sakit-sakit badan, sistem jantung, artritis, degupan jantung yang pantas, epilepsi, lemak berlebihan, bronkitis, tibi, meningitis, buah pinggang dan jangkitan pada air kencing.

Sebaiknya, kita digalakkan untuk minum segelas air masak sebelum masuk tidur kerana ia dapat mengelakkan terkena serangan jantung dan serangan strok di mana air berfungsi sebagai pelancar dalam pengaliran darah kita sewaktu kita sedang tidur. Selain itu, minum air masak sebelum mandi juga dapat melancarkan perjalan darah serta mengurangkan tekanan darah yang mendadak ketika tubuh badan kita menghadapi suhu keadaan sekeliling yang sentiasa berubah-ubah. Mengamalkan minum air masak sejurus bangun dari tidur dapat mengaktifkan organ-organ dalaman badan kita untuk kembali bekerja setelah berehat untuk tempoh yang agak lama. Apa yang lebih elok, mengambil air masak sebelum memberus gigi dapat memberikan pelancaran sistem penghadaman dan sistem pembuangan dalam perut kita. Bagi mereka yang sentiasa menitik beratkan tentang kesihatan dan bentuk tubuh yang cantik, mengamalkan minum air masak 30 minit sebelum menjamah makanan adalah terbukti sangat berkesan untuk terus mengekalkan kesihatan perut dari membuncit.

Selepas kita mengambil air 30 minit sebelum makan, ia dapat mengelakkan kita dari menjamah makanan terlalu banyak berikutan kandungan perut kita sudah hampir penuh dan membuatkan kita tidak terlalu mengikut nafsu untuk menjamah makanan yang terlalu banyak. Sebenarnya amalan minum air 30 minit sebelum dan selepas makan adalah amalan Sunnah Rasulullah SAW. Jadi seandainya kita mampu melakukan perkara sebegini bukan sahaja dapat menjaga kesihatan, tetapi yang paling penting pahala mengamalkan Sunnah Nabi SAW pun kita perolehi. Itulah yang sepatutnya kita kejarkan kejayaan di Aunia dan Akhirat.